Bismillahirrahmanirrahim

Jumaat Barakah semua sahabat. Nak kongsi sedikit tazkirah yang aku dengar pagi tadi. Zaman sekarang dosa tidak lagi banyak diperolehi daripada penglihatan, pendengaran mahupun kata-kata seperti zaman sebelum ini. Dalam zaman sosial media ini, sebenarnya dosa yang paling banyak kita lakukan ialah menggunakan tangan iaitu menulis, menyebarkan berita, menyambung fitnah, putuskan silaturrahim dan perkara seumpamanya. Hanya dengan tangan.

Walaupun hakikatnya kita seorang pendiam, jarang berbual dengan orang lain, duduk di rumah sahaja dan tidak melihat benda2 dosa tetapi bila dihadapan komputer ia merupakan satu dunia yang berbeza. Tanpa sedar dunia tersebut memang tiada beza dengan dunia sebenar dari segi pengiraan pahala dan dosa. Malah kerosakan yang dilakukan kadangkala lebih besar dan mungkin dosanya jauh lebih besar dari dosa-dosa masyarakat zaman dahulu.

Atikah & Khaidir, Sungai Kelambu, Banting

Ustaz juga berkali-kali menekankan, dosa menggunakan tangan ini pada zaman sekarang lebih besar impak kepada timbangan dosa dan pahala kita. Kita kena sentiasa beringat ketika online biarpun bersendirian di dalam rumah. Dosa dan pahala tetap dicatat dan tangan kita akan menjadi saksi kita di akhirat tentang apa yang kita lakukan tersebut.

Jadi berhati-hatilah dalam mengeluarkan sebarang pendapat dan pandangan. Berhati-hati ketika menyebarkan berita yang kita tidak tahu kerana dikhuatiri ia mengandungi fitnah dan dosa. Berhati-hati ketika menulis agar tiada silaturrahim terputus dan ukhuwah yang renggang disebabkan tulisan kita tersebut. Walaupun kita mendakwa menulis tentang kebenaran tetapi soal akhlak tetap perlu dijaga. Kita bertanggung jawab sepenuhnya tentang apa yang kita baca dan tulis. Akhlak dan keperibadian juga boleh dinilai melalui tulisan dan pandangan seseorang. Mudah-mudahan kita lebih berhati-hati dalam perkara ini insyaallah. Wallahua’lam.

Wassalam.

Leave a reply