Outdoor Aizatul & Firdaus, Shah Alam

Bismillahirrahmanirrahim

 

 
Alhamdulillah bersyukur dapat mencoretkan sesuatu di sini. Dalam tazkirah yang aku dengar baru-baru ini, ustaz bagitau antara cara nak tahu kita ini seorang yang sombong dan ego ialah kita sangat terasa hati bila orang ada orang menegur dan betulkan kesilapan kita. Lebih-lebih lagi apabila yang menegur itu tarafnya lebih rendah dari kita.

Kata ustaz lagi setiap teguran yang kita terima itu kena anggap datang dari Allah. Seteruk mana kata-kata, teguran, cacian manusia ia tak beri kesan kepada kita jika sudut pandang kita diubah. Mesti ada sesuatu yang Allah nak sampaikan.

Aku rasa kebanyakkan kita mempunyai sifat seperti itu. Jika nak perbaiki hati, elakkan dari berpakaian, membeli dan melakukan sesuatu yang menyebabkan kita berasa ego dan riak. Contohnya elakkan diri dari membeli pakaian/barang/kereta dll sebab nak tunjuk status kita. Selagi kita pakai benda itu, kita berjalan dengan riak dihadapan orang lain. Nauzubillah.

Aku update outdoor majlis Aizatul dan Firdaus yang diadakan di Shah Alam. Aku buat outdoor ni tepi jalan je. Shah Alam banyak tempat menarik juga dari tempat-tempat biasa orang pergi.
 

 
Walaupun banyak cara editing yang ada kat luar sana, tapi hati aku tetap suka warna neutral yang tidak mengubah warna baju, muka dan lain-lain. Aku suka kaler. Insyaallah aku sambung update lagi nanti. Tahun ni banyak projek besar di ofis yang aku terlibat. Aku sibuk sikit.

Tahniah sekali lagi untuk kedua pengantin yang dirahmati Allah. Selamat menjalani kehidupan berumahtangga. Semoga Allah ramhati hubungan kalian berdua:)
 

Wassalam.

Pernikahan Aizatul & Firdaus, Shah Alam

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah dapat tulis entry lagi di sini. Aku nak kongsi satu tazkirah di ofis semalam. Ustaz kata orang beriman ini perlulah bijak. Jangan sebarkan sesuatu berita tanpa berfikir. Dan jangan sibukkan dengan perkara sia-sia.

Banyak isu dan berita di sekeliling kita yang berlaku setiap hari. Penceraian, pergaduhan di kalangan artis ataupun teman-teman dan sebagainya. Kadangkala tanpa disedari ramai termasuk dalam perbahasan sia-sia seperti ini waima mereka seorang yang berilmu.

Kadangkala ia bukan setakat membuang masa, tapi ia menambah dosa kita dengan membincangkan benda sia-sia dan membuka aib orang lain. Ketika ilmu kita masih lemah, amalan kita kurang dan umat Islam lemah, kita masih belum dapat pisahkan benda remeh begini dalam hidup kita. Sibuk dengan benda sia-sia yang tidak bawa manfaat.

Mudah-mudahan kita perbaiki perkara ini.

Kali ni aku nak update majlis pernikahan antara Aizatul dan Firdaus yang diadakan di Shah Alam. Majlis persandingan dilaksanakan pada hari yang sama. Aku update dulu majlis pernikahan beliau pada sebelah pagi. Layan dulu.

 
 

 

 
Mari kita semua mendoakan semoga ikatan pernikahan ini berkekalan bahagia sampai ke syurga,amin. Bapa Aizatul meninggal dunia beberapa bulan sebelum majlis pernikahan ini berlangsung. Semoga roh arwah bapanya ditempatkan di kalangan orang beriman dan diampunkan dosa-dosa beliau yang lepas,amin. Insyaallah minggu hadapan aku update pula majlis persandingan kedua pasangan pengantin ini.

Wassalam.

Syu & Ebby, Taman Tasik Perdana

Bismillahirrahmanirrahim

Aku ada terbaca kisah Mahatma Gandhi masa belajar dulu. Suatu hari seorang wanita membawa anaknya berjumpa beliau. Wanita ini mengadu anaknya itu suka makan manis-manisan dan minta Gandhi menasihati anaknya supaya mengurangkan mengambil manisan kerana risau kesihatannya. Gandhi diam tidak menasihati anaknya dan menyuruh kedua-duanya datang berjumpa beliau sebulan lagi.

Sebulan selepas itu wanita dan anaknya kembali menemui Gandhi. Lalu beliau menasihati anaknya itu supaya mengurangkan manisan kerana ia memudaratkan. Wanita tu tersebut hairan dan bertanya “Kenapa anda tidak menasihati benda yang sama pada bulan lepas?”.

Gandhi menjawab “Ketika engkau datang dan minta menasihati anakmu tentang manisan, sebenarnya ketika itu aku juga makan banyak manisan. Aku takkan nasihati perkara yang aku sendiri tidak lakukan”.

Walaupun beliau bukan muslim, tetapi apa yang beliau katakan merupakan satu kebenaran. Sekarang kita boleh lihat lambakan jelmaan ustaz/ustazah yang berkata perkara yang mereka sendiri tidak lakukan semata-mata untuk mendapatkan pengikut yang ramai. Lebih teruk lagi mereka kadangkala mengambil hadis palsu sebagai hujah. Ramai follower mereka percaya ianya satu kebenaran. Nauzubillah.

Aku update sikit sesi outdoor majlis perkahwinan Syu dan Ebby yang diadakan di Taman Tasik Perdana. Sebenarnya aku pernah amik gambar kat area sini tapi tak pernah jumpa plak beberapa tempat menarik kat ini:)

 

Alhamdulillah, majlis mereka berdua berlangsung dengan meriah. Mari kita sama-sama doakan semua kedua pasangan pengantin ini dilimpahkan rahmat dan kebahagiaan sepanjang hayat mereka berdua sampailah ke akhir hayat,amin. Mohon maaf dah lama tak update blog ini sebab kesibukan kerja. Terima kasih kepada semua yang masih singgah ke sini. Aku sangat hargainya. Insyaallah nanti aku update lagi:) Wallahua’lam.

Wassalam.

Solemnized Syu dan Ebby, Kampung Bukit Lanchong

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, syukur kerana Allah beri kita semua peluang untuk hidup pada hari ini. Salah satu sikap yang kita semua kena perbaiki pada masa ini ialah sikap suka mencari salah orang dan jadikan bahan gurauan bersama rakan-rakan. Aku merujuk kepada tranding di Twitter tentang kesilapan JAKIM dalam menterjemah bahasa english dalam laman web mereka minggu lepas.

Mudah-mudahan Allah pelihara kita semua daripada diaibkan bila kita melakukan kesilapan yang kita tidak tahu pada masa akan datang. Sentiasa beringat, apabila kita jaga aib orang lain, Allah akan jaga keaiban kita pada masa hadapan.

Kali ni aku update majlis pernikahan Syu & Ebby di Bukit Lanchong, Puchong. Imam jurunikah ada masalah kesihatan dan terpaksa buat di atas meja. Pertama kali aku sampai Kampung Bukit Lanchong ni walaupun dekat je ngan rumah aku.
 

Alhamdulillah majlis berlangsung dengan meriah. Mari kita sama-sama mendoakan kedua-dua pasangan ini semoga ikatan perkahwinan mereka diberkati dan dirahmati Allah serta berkekalan sampai ke syurga Insyallah.

Wassalam.

Wedding Amal & John, Manjalara

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, dapat update blog ni. Esok Tahun Baru Cina. Jalan raya dah mula lengang dan kosong hari ini. Duduk di negara berbilang kaum seperti Malaysia kadangkala rasa bertuah sebab kita dapat mengenal budaya dan cara hidup bangsa lain. Jiran aku di sebelah kanan dan kiri serta depan rumah berbangsa Cina. Seronok tengok mereka menghias rumah dan buat persediaan raya. Terasa bahang musim perayaan.

Beberapa tahun hidup bersama mereka sebagai jiran, kita boleh tahu jika seseorang itu merupakan jiran yang baik ataupun sebaliknya. Kemesraan mereka, kebaikan mereka dan sifat tolong menolong antara jiran walau berbilang agama dan bangsa sesuatu yang sangat menenangkan hati. Aku berdoa semoga satu hari nanti Allah bukakan pintu hati mereka kepada Islam. Sebelum tu aku kena perbaiki akhlak dan bawa imej Islam yang baik sebelum dakwah kepada mereka. Mereka insan-insan hebat dan baik. Rugi jika tidak masuk syurga Allah.

Kali ni aku update outdoor Amal & John yang diadakan di Manjalara. John dan family dating dari Sabah. First time rasanya shoot orang dari Sabah. Susah nak suruh John senyum sebenarnya,hehe.

 

Majlis berlangsung dengan lancar dan meriah. Kitorang buat outdoor kat taman berhampiran rumah Amal je. Aku doakan semoga ikatan yang terjalan antara kedua pasangan ini berkekalan bahagia sampai ke syurga,amin. Terima kasih atas layanan dan kerjasama yang baik sepanjang 2 hari shoot kat rumah Amal:) Terima kasih juga kepada sahabat aku Khairul Hafiz yang bantu aku shoot majlis ni. Jumpa lagi next entry.

Wassalam.

Atie & Nazim, Banting

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah kita masih dihidupkan sehingga berjumpa tahun 2014 ini. Dalam seminggu lepas ada 2 orang sahabat ofis telah kembali kerahmatullah. Semoga roh kedua-dua mereka diletakkan di kalangan orang beriman, diampunkan dosa dan diberikan syurga,amin. Meninggal di usia muda ketika berada di puncak kerjaya mungkin lebih memberi kesan kepada keluarga dan syarikat.

Kebelakangan ini ramai juga sahabat yang sakit kronik tanpa disangka-sangka. Sakit perut dan demam. Sekali check buah pinggang dah rosak dan terpaksa menjalani dialisis seumur hidup. Malah ada yang berlaku sebelum mencapai umur 30 tahun. Aku nasihatkan kita semua buatlah health screening untuk check kesihatan kita. Belanja RM200-300 untuk periksa tahap kesihatan jauh lebih bernilai daripada habis untuk gadget, baju, kereta dan sebagainya.

Kali ni aku nak update sesi outdoor pasangan Atie & Nazim yang diadakan di Pantai Kelanang. Dekat lebih setahun tak amik gambar di Kelanang, sekali ada tugasan wedding sebulan sampai 2 kali kat sini:) Atie solat Asar dulu sebelum keluar outdoor ni jadi beliau takde make-up sangat. Insyaallah lebih baik begitu sebab dahulukan solat.

Alhamdulillah majlis semua berjalan lancar. Aku ucapkan tahniah kepada kedua pasangan pengantin yang dirai ini. Semoga ikatan pernikahan ini berkekalan bahagia sampai ke akhir hayat,amin. Awal tahun tak jangka pula banyak tugasan ofis kena siapkan. Jadi agak sibuk dengan kerja ofis pula. Jazakallahukhair. Wallahua’lam.

Wassalam.