Tahun Baru 2016

Bismillahirrahmanirrahim,

Kenangan bersama keluarga di Sabak Bernam.

Kenangan bersama keluarga di Sabak Bernam.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Tiada nikmat yang lebih besar kita perolehi dalam dunia melainkan nikmat keimanan. Tanpa sedar kebahagiaan, ketenangan fikiran, ketenteraman jiwa juga merupakan rezeki terbesar yang Allah beri yang jarang kita syukuri.

Aku harap dapat improve diri dalam tahun 2016. Dapat tambah lingkungan kawan yang baik-baik, yang selalu ingatkan kebaikan, yang tegur aku bila aku malas ke surau/masjid, yang selalu ajak ke majlis ilmu, yang bila aku tengoknya aku teringat perkara baik-baik.

Aku usaha kurangkan kawan-kawan yang negatif. Aku taknak ambil tahu cerita tentang orang lain yang tidak berkaitan. Cuba elak baca komen kat status sosial media/youtube/blog yang biasanya negatif, elakkan berdebatan dan bergaduh perkara yang tidak beri manfaat.

Semoga Allah lindungi dan rahmati kita semua.

Jika kita mati tahun ini, mudah-mudahan Allah ampunkan dosa-dosa kita yang lepas, terima amalan pahala kebaikan kita dan juga kepada seluruh keluarga, sahabat dan muslimin muslimat yang telah meninggalkan kita lebih awal.

Wallahua’lam.

Eid Mubarak

Bismillahirrahmanirrahim.

acaiiraya2015

Allahu Akbar. Allahu Akbar. Allahu Akbar!

Aku ucapkan selamat menyambut raya aidilfitri kepada semua sahabat-sahabat di sini.

Hari raya ini adalah masa terbaik untuk kita rapatkan lagi hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga. Bukan masa untuk bersosial media, berinternet dan tengok TV. Masa untuk menziarahi saudara mara.

Semoga Allah terima amalan kita sepanjang Ramadan lepas dan jadikan kita semua insan yang lebih baik, ameen.

Mohon maaf atas kekhilafan sepanjang mengenali diri ini.

Wassalam.

Mak dan Ramadan

Bismillahirrahmanirrahim,

shahmil

Shahmil & Amelia, Taman Maluri, Kuala Lumpur

Masa bangun tidur pagi tadi tiba-tiba aku teringat 2 benda.

Pertama ingat kat mak dan kedua bulan Ramadan. Usai solat subuh tadi aku terus telefon mak. Sekadar berbasa basi bertanya khabar mak di kampung. Tapi sebenarnya mendengar suara mak je dah dapat memberikan semangat dan motivasi untuk teruskan aktiviti harian.

Ada seorang sahabat yang baru kehilangan ibunya baru-baru ini. Aku sangat terkesan sebab aku kenal arwah. Sungguh ketika kita makin dewasa dengan kerjaya dan keluarga, tanpa sedar ibu bapa kita juga semakin meniti hari tua mereka.

Masa mereka di dunia sudah tidak lama. Berbaktilah sementara masih berkesempatan. Satu masa nanti, kita pasti rindukan kenangan bersama mereka ketika mereka tiada lagi di dunia ini.

Aku juga rindukan Ramadan. Suasananya, aura semangatnya, kegembiraannya.

Semoga kita semua masih diberikan kesempatan untuk bertemu dengan bulan yang mulia tersebut, amin. Amalan kita tak setara mana. Iman sentiasa turun naik. Kita sebenarnya perlukan Ramadan untuk gandakan pahala amalan kita. Itu sahaja dah tunjukkan kelemahan kita sebagai seorang muslim. Akulah tu.

Wallahua’lam.

Salam Lebaran 1434H:)

Bismillahirrahmanirrahim

Ramadan semakin melabuhkan tirainya. Rasa sayu mengenang masih tak mampu nak manfaatkan sebaiknya Ramadan dengan amal kebaikan. Selepas ni jemaah masjid dan surau kembali seperti asal. Solat Zohor, Isya’, Subuh akan terasa sangat berkurangan jemaahnya. Semoga amalan kebaikan yang kita lakukan sepanjang bulan Ramadan ini diterima oleh Allah. Semoga madrasah Ramadan jadikan kita semua insan yang lebih baik.


Allahu Akbar! Allahu Akbar! Allahu Akbar!

Sempena kehadiran lebaran ni ada beberapa perkara yang boleh kita lakukan untuk konsisten melakukan kebaikan. Pastikan kita sentiasa bertakbir meraikan kesyukuran sepanjang hari. Eratkan silaturrahim sesama keluarga dan saudara mara dengan mengunjungi mereka. Begitu juga ukhuwah sesama jiran & sahabat-sahabat kita. Jaga batas pergaulan. Jangan bersalaman dengan orang yang diharamkan untuk bersentuhan. Paling penting belajar untuk ‘OFFLINE’ dari internet untuk hubungkan ukhuwah.

Kadang-kadang aku ada rasa kasihan tengok orang yang hidupnya asyik dengan internet dan TV sahaja. Semua orang bergembira jalinkan ukhuwah, bergelak tawa, makan-makan dan bersalam-salaman, dia dengan dunianya sendiri. Update status di hp dan bersosial di alam maya untuk memberitahu keseronokannya yang palsu. Sepanjang tahun siang malam ada masa untuk itu, apa salahnya berhenti seketika.

Mohon maaf atas salah dan silap. Berhati-hati memandu di jalan raya ketika pulang dan kembali ke destinasi pada tahun ini. Pasti orang yang mati kemalangan tahun ni membaca berita-berita kematian pada tahun lepas. Tapi berapa ramai ambil pengajaran darinya. Taqabballahu minna wa minka. Jazakallahukhair jaza.


Nota kaki : Insyaallah aku beraya di Banting dulu tahun ni. Jemput datang rumah mak ngan abah aku ye sapa yang berhampiran.

Wassalam.

Ramadan datang lagi.

Bismillahirrahmanirrahim

Fiza & Mazli, UM

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah!! Ramadan semakin menghampiri. Bahangnya mulai terasa. Di qariah masjid setiap hari sejak 2 minggu lepas ada sahaja orang yang membuat kenduri arwah/tahlil sempena kehadiran Ramadan. Setiap malam makan free. Satu tradisi yang dah berakar umbi dalam masyarakat melayu sejak dahulu lagi.

Tahun lepas aku berjaya realisasikan impian aku sejak sekolah menengah iaitu bersolat tarawikh di 30 masjid berbeza sepanjang malam bulan Ramadan. Walaupun ia tidak memberi signifikan apa-apa tapi dengan buat begitu semangat untuk kerjakan ibadah setiap hari konsisten hingga akhir Ramadan. Sebab akan merasa suasana berbeza pada setiap malam.

Tahun ni aku ada matlamat lain yang insyaallah aku usaha untuk capai. Aku percaya setiap insan ada memori tersendiri tentang Ramadan mereka. Kalaulah tiada masa untuk melakukan ibadah khusus lain pada bulan Ramadan cukuplah mohon kepada Allah agar diampunkan dosa-dosa lepas. Keampunan Allah merupakan satu perkara terbesar bagi seorang insan yang sering melakukan dosa di atas muka bumi ini.

Besarnya rahmat Ramadan hingga pintu syurga dibuka seluas-luasnya dan pintu neraka ditutup. Semua pahala digandakan. Rugi kita kalau tak ambil manfaat dari kehadiran Ramadan. Rancang masa untuk ibadah kita sebaiknya. Insyaallah aku akan update seperti biasa pada bulan Ramadan ni:) Wallahua’lam.

Nota kaki : Kadar zakat fitrah di Selangor kekal RM7.00 seorang pada tahun ini.

Training iOS iPhone

Bismillahirrahmanirrahim

Mustakim& Farhanah, Sungai Petani

Allahuakhbar! Masa amat mencemburui aku sekarang. Sekembali dari Sungai Petani Ahad lepas aku diarahkan untuk hadir training membuat aplikasi iPhone selama seminggu bermula Isnin sampailah Jumaat di Bangi. Belum sempat nak lepaskan lelah, terpaksa berhempas pulas hadam ilmu baru untuk kebaikan kerjaya aku dan organisasi. Setelah penat memerah otak pada waktu siang, malamnya kena laksanakan tanggungjawab siapkan album pula:)

Namun begitu aku amat berterima kasih kepada ofis yang menghantar training untuk membuat aplikasi iPhone/iPad ni. Aku belajar menggunakan native language dalam software Xcode dan gunakan programming language Objective C yang aku tak familiar sebelum ni. Tapi itulah cabaran. Dalam setiap cabaran Insyaallah ada peluang dan rezeki. Dengan kos lebih RM5K dibelanjakan syarikat insyaallah aku akan memberi nilai tambah baru kepada organisasi aku bekerja. Kalau Allah izinkan, tak lama lagi Apps Zakat akan keluar kat Appstore. Tunggu ye.

Aku tak dapat update lagi buat masa ni walaupun ada beberapa entry yang masih pending. Insyaallah aku akan release satu-satu. Ketika aku tulis entry ni jam dah lama melepasi tengah malam selepas selesai siapkan satu lagi album. Ada masa 4 jam untuk tidur dan mulakan hari esok dengan fikiran yang lapang untuk timba ilmu baru yang lain pula. Aku rasa tak seronok pula biarkan blog ni tak berupdate lama. Wallahua’lam.

Wassalam.

Nota kaki : Selamat hari guru kepada semua pendidik:) Semoga kerja kalian memudahkan kalian semua memasuki syurga Allah,amin. 

Nota kaki 2 : Ya Allah, sampaikan aku dan semua sahabat2 blog aku ni hingga ke bulan Ramadan Mubara’ pada tahun ni.

Selepas pilihanraya

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, bersua lagi dalam blog ni. Rakyat Malaysia telah bersuara dalam PRU13. Silent majoriti kadangkala sukar dijangka. Dua-dua pihak Barisan Nasional & Pakatan Rakyat ada sesuatu yang boleh diraikan dan ada benda yang kecewa. Mudah-mudahan pemimpin yang dipilih tersebut menunaikan janji dan menjaga negara dan negeri kita dengan baik. Semoga syiar Islam terus berkembang.
 

Adawina & Suhaimi, Cheras

Teaser Fara & Hasif, Kajang

Farhanah & Mustakim, Kuala Lumpur

 
Mohon maaf belum dapat update full entry majlis lepas. Aku terlibat dalam satu kemalangan kecil baru-baru ni. Tangan kanan aku sukar nak bergerak. Tak dapat nak menaip & buat kerja. Beberapa hari terpaksa MC. Alhamdulillah tiada apa2 yang serius. Cuma bila ada musibah dan sakit baru insaf betapa nikmat kesihatan tu merupakan satu nikmat yang sangat besar. Baru hargai jari yang boleh menggengam bila kesakitan ketika mahu menggerakkan jari.

Insyaallah aku cuba update seperti biasa mulai minggu hadapan selepas pulang dari musafir jauh. Untuk akhirnya kita ini sesama muslim, mari kita bersatu kerana Islam dan berlapang dada menerima perbezaan. Sahabat-sahabat, kita semua akan menuju matlamat dan tempat yang sama. Fokus kat akhirat jom. Mari kukuhkan kebersamaan antara kita. Wallahua’lam
 

Wassalam.

Kisah mengundi

Bismillahirrahmanirrahim

Teaser Farhanah & Mustakim, Putrajaya

 

Kibaran bendera-bendera parti di kiri kanan jalan semakin banyak di kawasan rumah aku. Barulah terasa bahang pilihanraya walaupun kempen pilihanraya dah lama berjalan. Memandangkan rumah aku dekat dengan markas DAP maka banyaklah bendera dan poster putih merentasi jalan dan sepanjang laluan pejalan kaki. Ada yang roket tu menghala ke bawah. Mungkin mereka pasang malam2 tak perasan:)

Teringat dulu masa aku sekolah rendah, ada van peraih undi membunyikan hon bertalu-talu menawarkan diri untuk membawa penduduk kampung aku mengundi di kampung sebelah. Jauhnya lebih kurang 5km. Pada waktu tu kampung aku tiada lagi pusat membuang mengundi. Aku dengan selamba naik van tersebut untuk merasai sendiri suasana tempat mengundi.

Bila dah tengahari dan lapar, baru aku sedar takde kenderaan nak balik semula ke kampung. Sebab mak ngan abah pergi naik motor je ke pusat mengundi. Akupun tak jumpa mak ngan abah kat sana. Telefon tak ada, duit tak ada. Kalau ada telefonpun mana rumah aku ada telefon rumah:) Van mengangkut peraih undi tu tak kelihatan. Akhirnya aku tumpang sorang penduduk kampung yang aku  jumpa. Balik naik motor tanpa helmet.

Ahad ni kita sekali lagi akan memilih pemerintah negara(Parlimen) dan wakil rakyat (ADUN) untuk 5 tahun akan datang. Mudah-mudahan pilihan kita nanti mampu laksanakan apa yang dijanji dan syiar Islam terus berkembang. Jagalah akhlak kita sepanjang masa. Takkan kita nak menjejaskan ukhuwah sesama muslim hanya kerana PRU sedangkan ada puluhan tahun lagi akan berinteraksi dan bersosial dengan mereka:)  Wallahua’lam.

 

Wassalam.