Kisah Abu Ubaidah Al Jarrah

Bismillahirrahmanirrahim

Abu Ubaidah Al-Jarrah merupakan sahabat nabi dan perawi hadis yang terkemuka. Beliau mempunyai keperibadian mulia, jujur, tawadu’ dan pemalu. Bagaimanapun, di sebalik sikap pemalu itu, tersemat semangat juang kental dan tinggi di jiwanya. Rasulullah pernah berkata “Setiap umat ada penjaga amanahnya dan penjaga amanah bagi umatku adalah Abu Ubaidah Al Jarrah“. Beliau pernah mengeluarkan besi yang tertusuk di pipi Rasulullah dalam peperangan Uhud menggunakan mulutnya.

Selepas Rasulullah wafat, nama beliau antara yang disebut untuk menggantikan Rasulullah sebagai khalifah selain Abu Bakar dan Umar. Malah Abu Ubaidah juga merupakan pilihan pertama Saidina Umar untuk menggantikan beliau sebagai khalifah umat Islam jika beliau meninggal dunia. Tetapi hajat Umar tidak kesampaian kerana Abu Ubaidah meninggal akibat penyakit taun di Syam.

Teaser Adawina & Suhaimi, Cheras

Ketika penyakit taun menyerang Syam (Syiria), hampir 20,000 penduduk telah meninggal dunia akibat penyakit berjangkit tersebut. Abu Ubaidah ketika itu baru membebaskan Baitul Muqaddis daripada Rom bersama tenteranya berada di Syam. Banyak tenteranya mati akibat penyakit taun tersebut.

Saidina Umar berasa risau tentang keselamatan Abu Ubaidah telah mengutus surat kepadanya di Syam supaya pulang ke Madinah. Antara kandungan surat tu berbunyi “Jika engkau membaca surat ini, pulanglah ke Madinah kerana ada perkara yang ingin aku tanyakan“. Namun Abu Ubaidah dapat membaca niat Umar tersebut yang risau keselamatannya.

Lalu Abu Ubaidah membalas surat tersebut yang mengatakan beliau tidak akan meninggalkan tenteranya di Syam dan mengingatkan tentang hadis Rasulullah yang tidak membenarkan seseorang itu meninggalkan kawasan penyakit berjangkit jika telah berada di dalamnya. Saidina Umar mengangis ketika terima surat tersebut hingga ramai menyangka Abu Ubaidah telah meninggal dunia.

Tidak lama selepas itu, beliau juga dijangkiti penyakit taun dan meninggal dunia ketika berusia 58 tahun. Ada yang mengatakan beliau sendiri mohon kepada Allah agar terkena penyakit taun itu sebab ramai tenteranya telah mati. Sumbangannya kepada agama Islam sangat besar. Abu Ubaidah al-Jarrah dikenang membawa beberapa teladan yang sangat berkesan kepada seluruh umat Islam. Mudah-mudahan ramai tahu serba sedikit tentang sahabat besar nabi ini. Wallahua’lam.

Wassalam.

Peperangan Jamal part 2

Bismillahirrahmanirrahim

Kali ni aku nak sambung kisah yang berlaku selepas kematian Khalifah Usman dalam Perang Jamal Part 1. Sebelum itu, sahabat2 semua kena faham ketika berlaku pembunuhan Usman ini suasana di negara Islam terutama di Madinah ketika itu agak tegang. Mereka bercakap-cakap tentang pembunuhan dengan versi berbeza-beza. Para sahabat juga tidak tahu buat pendirian sebab perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini.

PERLANTIKAN ALI SEBAGAI KHALIFAH

Selepas kematian Usman, lebih ramai pemberontak masuk ke dalam kota Madinah hingga jumlahnya mencecah 5,000-6,000 orang. Mereka mencadangkan 3 nama untuk menggantikan Usman iaitu Ali bin Abi Talib, Abi Talhah dan Zubair bin Awwam. Kedua-dua Zubair dan Abi Talhah menolak. Pemberontak mengugut Ali untuk membuat pertumpahan darah di Madinah sekiranya Ali tidak menerima jawatan tersebut.

Akhirnya Ali berijtid untuk mengambil jawatan tersebut dengan niat mengembalikan keamanan di kota Madinah dan negara-negara jajahan takluk Islam lain. Ketika itu suasana sangat getir. Namun begitu, kenaikan Ali menyebabkan ramai dikalangan penduduk Mekah, Mesir dan beberapa kawasan lain yang pernah mendapat surat palsu daripada Ali untuk serang Madinah persoalkan perkara tersebut.

Kalau Ali menafikan beliau hantar surat palsu untuk menjatuhkan Usman, kenapa Ali naik sebagai khalifah sejurus selepas kematian Usman? Diburukkan lagi, Ali lebih tumpukan untuk perkukuhkan dahulu negara Islam dan tenangkan pergolakkan yang berlaku sedangkan ramai yang mahu Ali mencari pembunuh Usman terlebih dahulu.

PEMERINTAHAN ALI

Kebanyakkan yang bermasalah dan menimbulkan pertanyaan adalah bukan di kalangan sahabat. Golongan sahabat tiada masalah. Malah mereka telah berjumpa Ali untuk menyatakan Bai’ah (janji taat) kepada Ali termasuk Zubair dan Talhah. Tetapi dalam masa sama mereka meminta Ali membunuh pembunuh Usman (Qisas) yang ada di kota Madinah ketika itu.

Ali berkata “Bagaimana aku hendak bertindak dengan kaum yang kita tidak kuasai? Tiada cara hendak cari pembunuh Usman kerana mereka ramai dan tiada saksi ketika pembunuhan di rumah Usman. Siapa yang tahu cara untuk mencari pembunuh Usman sila bagitau aku!“. Sahabat semua diam dan akhirnya mereka taat kepada Ali. Zubair dan Talhah telah keluar dari Madinah menuju Mekah selepas itu.

Satu perkara yang Ali lakukan dengan tergesa-gesa dalam keadaan gawat ialah beliau telah memecat semua gabenor-gabenor yang dilantik oleh Usman termasuk Muawiyah di Syam (Syiria). Ali berpendapat ia dapat meredakan kemarahan orang yang tidak suka kepada gabenor pemerintahan Usman sebelum ini. Tetapi hal ini semakin menimbulkan prasangka di kalangan sahabat yang lain. Malah seorang sahabat iaitu Al-Mughirah menasihati Ali supaya jangan memecat gabenor Usman ketika itu. Usman tidak pernah memecat gabenor yang dilantik oleh Umar sebelumnya. Ia akan menimbulkan fitnah. Tetapi Ali meneruskan hasratnya.

TENTERA AISYAH

Sebenarnya Aisyah telah mengumpulkan tentera di Mekah untuk membantu Usman menghadapi pemberontak di Madinah. Pada masa itu, Aisyah baru berumur 40 tahun dan masih cergas serta bersemangat. Ketika dalam perjalanan menuju ke Madinah lah Usman telah dibunuh. Ketika itu para sahabat mempunyai beberapa cadangan kepada Aisyah. Pertama, pergi ke Syam untuk bertemu Muawiyah untuk sama-sama menyerang Madinah (ditolak). Terus menyerang Madinah (ditolak) dan pergi ke Basrah untuk mengumpulkan kekuatan sebelum ke Madinah untuk menghapuskan pemberontak (diterima).

Apabila Ali mendengar berita Aisyah mengumpulkan tentera menuju ke Madinah, beliau juga mengumpulkan pasukan untuk melihat apa yang berlaku dengan tujuan untuk mendamaikan Aisyah. Malangnya kebanyakkan tentera yang mengikut Ali adalah dikalangan pemberontak. Ramai sahabat tidak mahu serta dalam rombongan tersebut. Abu Musa dan Hassan bin Ali telah menasihati Ali supaya jangan keluar kerana ia lebih membawa keburukan. Tetapi ijtihad Ali adalah untuk membawa keamanan.

Jadi kita dapat lihat di sini kedua-dua Ali dan Aisyah bukan berniat berperang seperti yang diceritakan oleh buku-buku Syiah. Dalam buku mereka (termasuk buku teks kat Malaysia), Aisyah datang bersama tentera untuk berperang dengan Ali untuk menuntuk bela kematian Usman. Syiah menghukum Aisyah dan sahabat yang menyertai Aisyah seperti Zubair dan Talhah adalah kafir.

PEPERANGAN JAMAL

Setelah Aisyah sampai di Basrah, tentera Ali pun ke sana dan mereka berjumpa untuk berbincang. Aisyah, Zubair dan Talhah menyuruh Ali mencari pembunuh Usman. Tetapi Ali dengan tegas menjelaskan dalam keadaan sekarang ia adalah mustahil. Aisyah memberitahu tenteranya mereka tersilap dalam hal ini. Mereka sepatutnya berbai’ah (taat) kepada Ali. Mereka berjanji akan selesaikan salah faham dan sama-sama bergabung untuk cari pemberontak tersebut.

Pada malam itu, pemberontak yang rasa terancam dengan perdamaian tersebut merancang sesuatu. Jumlah mereka dalam tentera Ali ketika itu dikatakan mencecah 1,000 orang. Tanpa disangka mereka menyerang tentera Aisyah yang sedang tidur. Tentera Aisyah menyangka pasukan Ali telah khianat dan mula menyerang balas tentera Ali tersebut.

Apabila tentera Ali nampak tentera Aisyah menyerang mereka, mereka menjerit “Tentera Aisyah menipu! mereka menyerang kita ketika waktu malam!” Lalu terjadilah peperangan pertama yang melibatkan sesama orang Islam. Peperangan ini dinamakan peperangan Jamal(unta) kerana Aisyah menunggang unta ketika berperang.

Dalam peperangan ini unta yang dinaiki Aisyah telah dibunuh dan Aisyah terjatuh dari unta tersebut. Zubair bin Awwam dan Abi Talhah (sahabat yang dijamin syurga) juga telah dibunuh oleh tentera Ali. Ramai dikalangan umat Islam terbunuh dalam peperangan ini. Namun tiada pihak yang menang dalam peperangan ini.

Peristiwa ini ada dijelaskan dengan khusus oleh ramai ulama’ seperti Ibnu Taimiyyah, Abu Bakr bin Al-‘Arabiy, Imam Adz-Dzahabi dan ramai lagi yang bersetuju ijtihaj Aisyah ketika itu adalah berniat kebaikan. Tetapi berlaku sebaliknya dan Aisyah sangat menyesal dengan perkara tersebut.

SELEPAS PEPERANGAN JAMAL

Ali sangat berdukacita dengan peperangan ini. Ketika beliau nampak Abi Talhah mati, beliau telah turun dari kuda mengangkat mayat Abi Talhah dan menangis sambil berkata “Semoga Allah merahmatimu Aba Muhammad, sesungguhnya aku berasa amat sedih melihat engkau dibunuh di bawah bintang di langit. Kalaulah aku mati dahulu hingga aku tak lihat peristiwa ini“.

Tentera Ali juga membawa pedang Zubair bin Awwam yang dibunuh Amr ibn Jarmouz dengan gembira dan menyatakan mereka berjaya membunuh Zubair. Lalu Ali berkata mereka akan diberikan neraka kerana Ali mendengar Rasulullah berkata dlm hadisnya yang menyatakan, berikan neraka kepada pembunuh Zubair. Zubair ini adalah penolong nabi. Rasulullah pernah berkata “Setiap nabi mempunyai seorang penolong, Zubair ini adalah penolongku“. Ali telah sembahyangkan mayat dari kedua-dua tentera.

Dengan peperangan ini, semangat membantah kepada Ali semakin tinggi terutamanya Muawiyah bin Abu Sufiyan. Muawiyah berpendapat Ali sepatutnya melakukan Qisas dan mencari pembunuh Usman bila mula memerintah. Walaupun telah dipecat oleh Ali sebagai gabenor tetapi seluruh negara Syam masih lagi taat kepada Muawiyah.Beliau takkan berbai’ah kepada Ali sehingga pembunuh Usman dibunuh. Inilah yang menyebabkan berlaku peperangan Siffin yang akan aku ceritakan selepas ini.

KESIMPULAN PEPERANGAN JAMAL

Ramai ulama’ Ahli Sunnah berpendapat Saidina Ali dan Aisyah berperang dengan tidak sengaja kerana mengikut ijtihad masing-masing. Perang ini berlaku diluar pengetahuan mereka. Aisyah ke Basrah bukan untuk berperang. Aisyah berijtihad (berpendapat) keluarnya beliau dari Mekah itu membawa kebaikan kepada umat Islam. Namun sebaliknya yang berlaku.

Pendapat Syiah menyatakan Aisyah telah kumpulkan tentera untuk menyerang Ali sebagai khalifah yang sah di Madinah. Sedihnya inilah yang diajar kepada kita melalui buku di sekolah dan maklumat inilah yang ditulis di Wikipedia oleh orang-orang Syiah. Wallahua’lam

Nota kaki : Selamat bercuti kepada semua guru-guru di Malaysia :)

Nota kaki 2 : Cerita ini boleh didapati dalam tesis dan buku ‘Pertelingkahan Para Sahabat Nabi s.a.w: Antara Ketulenan Fakta Dengan Pembohongan Sejarah ‘ oleh Dr Asri dan seperti tafsiran buku-buku arab yang diceritakan oleh guru-guru aku.

Wassalam.

Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe

Peperangan Jamal part 1

Bismillahirrahmanirrahim

Hari ni aku nak cerita tentang pertelingkahan para sahabat selepas kewafatan Rasulullah s.a.w. Memandangkan kisah ni panjang, aku bahagi beberapa bahagian untuk Perang Jamal dan Perang Siffin. Aku mula dengan peperangan Jamal antara Khalifah Ali dengan Saidatina Aisyah, isteri Rasulullah. Peperangan ini disertai oleh beberapa sahabat Rasulullah yang dijamin masuk syurga dan mereka mati dibunuh orang Islam sendiri. Bagaimana kedudukan mereka di sisi agama?

Tujuan aku buat begini kerana aku dapati masih ramai yang tidak tahu serta keliru dan hampir semua buku teks sejarah Islam masa sekolah dulu dicemari dengan fahaman Syiah yang membuatkan kita rasa benci dengan ramai sahabat Rasulullah termasuk aku dahulu. Aku rasa sebagai Ahli Sunnah Wal Jamaah, kita kena mengetahui kedudukan sebenar perkara ini serta pandangan ulama’ sunnah mengenainya. Aku cuba terangkan dalam bahasa paling mudah dan ringkas.

KEMATIAN UMAR AL-KHATTAB

Umar Al-Khattab mati dibunuh ketika sedang solat subuh oleh seorang Majusi (penyembah api) bernama Luluah al-Farisi. Berbeza ketika Khalifah Abu Bakar meninggal dunia, beliau hanya menamakan Umar sebagai penggantinya yang layak sebagai khalifah. Tetapi Umar Al-Khattab telah menamakan 6 orang pengganti jika beliau mati.

Antaranya Abu Ubaidah Al Jarrah, Ali bin Abi Talib, Abdul Rahman bin Auf dan Usman bin Affan. Sebenarnya pilihan pertama Umar adalah Abu Ubaidah Al-Jarrah tetapi beliau telah meninggal dunia ketika itu akibat penyakit taun. Sahabat lain yang dicadangkan menolak dan hanya tinggal Ali, Abdul Rahman dan Usman sahaja.

Abdul Rahman bin Auf juga menarik diri tetapi beliau menawarkan diri untuk menjadi orang tengah. Beliau akan membuat bancian di kalangan penduduk Madinah sama ada mahu Ali bin Abi Talib ataupun Usman bin Affan sebagai khalifah. Setelah membuat bancian beliau telah berjumpa dengan keduanya dan mereka redha dengan apa juga keputusan Abdulrahman.

Lalu Abdulrahman mengangkat tangan Usman dan menyatakan orang Madinah lebih ramai memilih beliau. Perkara ini menjadi titik tolak perpecahan umat Islam ketika itu kerana pihak yang menyokong Ali mendakwa Abdulrahman tidak berlaku adil kerana beliau mempunyai hubungan persaudaraan dengan Usman (sepupu).

PEMERINTAHAN USMAN BIN AFFAN

Personaliti Khalifah Usman adalah sangat berbeza dengan Khalifah Umar. Umar adalah seorang yang tegas dalam pemerintahan hingga empayar Islam semakin luas di zamannya. Manakalah Usman adalah seorang yang lemah lembut dan lebih banyak bersabar. Ketika Usman memegang jawatan khalifah umurnya hampir 80 tahun.

6 tahun pertama pemerintahannya Madinah dalam keadaan aman. 6 tahun selepas itulah dikatakan pemberontakan semakin banyak dalam negara Islam. Abdullah Ibn Saba’ merupakan seorang yahudi dari Son’a yang memeluk Islam telah bergerak ke satu negeri ke negeri lain menyebarkan fitnah kepada Usman di kawasan jajahan takluk Islam seperti Kufah, Basra dan Mesir.

Beliau mendakwa Usman telah salah guna kuasa dengan memberi kekayaan kepada keluarganya dan saudara maranya, merampas tanah orang miskin, gabenor2 Usman yang dilantik adalah zalim dan sebagainya. Walaupun Usman telah menghantar surat menjelaskan perkara sebenar kepada jajahan pemerintahan Islam setelah berita itu tersebar tetapi ia tidak meredakan fitnah tersebut.

Abdullah Ibn Saba’ telah mengumpulkan pemberontak dari negeri Kufah, Basrah dan Mesir datang ke Madinah untuk berdialog dengan Usman. Usman menjawab semua pertanyaan mereka hingga mereka tidak mampu memberikan hujah lain. Menjawab pertanyaan beliau menyeleweng harta negara, Usman memberitahu kini beliau hanya mempunyai 2 ekor kuda untuk menunaikan haji ke Mekah sedangkan sebelumnya beliau seorang yang kaya raya. Para sahabat di Madinah ketika itu mencadangkan supaya Usman menahan pemberontak ini dari keluar dari Madinah. Kalau di zaman Umar mereka ini pasti kena hukum. Tetapi Usman berlembut dan memaafkan mereka.

PEMBUNUHAN USMAN (FITNAH BESAR UMAT ISLAM)

Tindakan Usman memaafkan mereka menyebabkan pemberontak ini semakin berani. Mereka membuat surat palsu dari Ali (kepada penduduk Mesir), Zubir Awwam (kepada penduduk Kufah) dan Abi Talhah (kepada penduduk Basra) untuk memujuk mereka menyerang Madinah kecuali Syam. Mereka menggunakan ketiga-tiga mereka kerana mereka sahabat nabi yg dijamin syurga dan dihormati. Syam (Syiria) tidak dipengaruhi oleh pemberontak ini kerana diperintah oleh Muawiyah yang merupakan saudara kepada Usman. Muawiyah seorang yang tegas dan beliau dilantik oleh Khalifah Umar sebelum ini.

Akhirnya mereka datang dari pelbagai penjuru Madinah ketika musim haji. Mereka memilih musim haji kerana ramai sahabat nabi akan pergi menunaikan haji ke Mekah. Pemberontak ini mengepung rumah Usman. Terdapat beberapa sahabat yang cuba menolong Usman termasuk Abu Hurairah, Hisam yang dihantar Ali dan beberapa orang lain. Tetapi Usman menyuruh mereka pulang dan tidak perlukan perlindungan.

Sebenarnya Usman dah merasakan beliau akan dibunuh pada hari tersebut. Ia ada disebutkan dalam hadis Rasulullah tentang pergolakan yang akan berlaku ketika pemerintahan Usman. Malah beliau bermimpi bertemu Rasulullah dan berbuka dengan baginda pada malam itu. Beliau mengenakan seluar iaitu pakaian yang berbeza daripada pakaian arab lain pada ketika itu. Beliau khuatir auratnya akan tersingkap jika beliau mati nanti.

Pada ketika itu Usman telah berusia 90 tahun. Beliau berpuasa pada hari tersebut. Ketika pemberontak menyerbu masuk ke rumahnya, beliau sedang membaca masyhaf Al-Quran. Pemberontak tersebut menghentak kepala Usman dengan besi hingga darahnya terkena masyhaf Al-Quran tersebut. Masyhaf tersebut masih boleh dilihat pada masa ini. Pemberontak kemudiannya memotong jari tangan isteri Usman iaitu Nailah.

Maka terjadilah fitnah terbesar dalam dunia Islam ketika itu iaitu pembunuhan seorang khalifah Islam yang menyebabkan perpecahan yang lebih besar dari sebelum ni. Selama 5 hari selepas itu umat Islam tiada pemimpin. Pemberontak yang membunuh Usman masih berada dalam Madinah. Jumlahnya kira-kira 2000-3000 orang.

Dalam bahagian 2 nanti, aku ceritakan pula bagaimana Ali menjadi khalifah selepas itu. Kenapa kumpulan pimpinan Saidatina Aisyah bersama Abi Talhah dan Zubair bin Awwam yang semuanya dijamin syurga keluar dari Mekah menuju ke Madinah selepas mendengar pemberontak mengepung rumah Usman. Adakah mereka mahu berperang dengan Ali yg dilantik selepas itu? Cerita inilah yang diputar belit oleh orang-orang Syiah yang banyak ada dalam buku teks sejarah Islam. Tunggu sambungannya.

Nota kaki : Cerita ini boleh didapati dalam tesis dan buku ‘Pertelingkahan Para Sahabat Nabi s.a.w: Antara Ketulenan Fakta Dengan Pembohongan Sejarah ‘ oleh Dr Asri dan buku-buku arab yang diceritakan oleh guru-guru aku.

Nota kaki 2 : Klik ni untuk baca bahagian kedua : Perang Jamal Part 2

Wassalam.

Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography
Twitter : http://www.twitter.com/acaiijawe