Pernikahan Aizatul & Firdaus, Shah Alam

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah dapat tulis entry lagi di sini. Aku nak kongsi satu tazkirah di ofis semalam. Ustaz kata orang beriman ini perlulah bijak. Jangan sebarkan sesuatu berita tanpa berfikir. Dan jangan sibukkan dengan perkara sia-sia.

Banyak isu dan berita di sekeliling kita yang berlaku setiap hari. Penceraian, pergaduhan di kalangan artis ataupun teman-teman dan sebagainya. Kadangkala tanpa disedari ramai termasuk dalam perbahasan sia-sia seperti ini waima mereka seorang yang berilmu.

Kadangkala ia bukan setakat membuang masa, tapi ia menambah dosa kita dengan membincangkan benda sia-sia dan membuka aib orang lain. Ketika ilmu kita masih lemah, amalan kita kurang dan umat Islam lemah, kita masih belum dapat pisahkan benda remeh begini dalam hidup kita. Sibuk dengan benda sia-sia yang tidak bawa manfaat.

Mudah-mudahan kita perbaiki perkara ini.

Kali ni aku nak update majlis pernikahan antara Aizatul dan Firdaus yang diadakan di Shah Alam. Majlis persandingan dilaksanakan pada hari yang sama. Aku update dulu majlis pernikahan beliau pada sebelah pagi. Layan dulu.

 
 

 

 
Mari kita semua mendoakan semoga ikatan pernikahan ini berkekalan bahagia sampai ke syurga,amin. Bapa Aizatul meninggal dunia beberapa bulan sebelum majlis pernikahan ini berlangsung. Semoga roh arwah bapanya ditempatkan di kalangan orang beriman dan diampunkan dosa-dosa beliau yang lepas,amin. Insyaallah minggu hadapan aku update pula majlis persandingan kedua pasangan pengantin ini.

Wassalam.

Syu & Ebby, Taman Tasik Perdana

Bismillahirrahmanirrahim

Aku ada terbaca kisah Mahatma Gandhi masa belajar dulu. Suatu hari seorang wanita membawa anaknya berjumpa beliau. Wanita ini mengadu anaknya itu suka makan manis-manisan dan minta Gandhi menasihati anaknya supaya mengurangkan mengambil manisan kerana risau kesihatannya. Gandhi diam tidak menasihati anaknya dan menyuruh kedua-duanya datang berjumpa beliau sebulan lagi.

Sebulan selepas itu wanita dan anaknya kembali menemui Gandhi. Lalu beliau menasihati anaknya itu supaya mengurangkan manisan kerana ia memudaratkan. Wanita tu tersebut hairan dan bertanya “Kenapa anda tidak menasihati benda yang sama pada bulan lepas?”.

Gandhi menjawab “Ketika engkau datang dan minta menasihati anakmu tentang manisan, sebenarnya ketika itu aku juga makan banyak manisan. Aku takkan nasihati perkara yang aku sendiri tidak lakukan”.

Walaupun beliau bukan muslim, tetapi apa yang beliau katakan merupakan satu kebenaran. Sekarang kita boleh lihat lambakan jelmaan ustaz/ustazah yang berkata perkara yang mereka sendiri tidak lakukan semata-mata untuk mendapatkan pengikut yang ramai. Lebih teruk lagi mereka kadangkala mengambil hadis palsu sebagai hujah. Ramai follower mereka percaya ianya satu kebenaran. Nauzubillah.

Aku update sikit sesi outdoor majlis perkahwinan Syu dan Ebby yang diadakan di Taman Tasik Perdana. Sebenarnya aku pernah amik gambar kat area sini tapi tak pernah jumpa plak beberapa tempat menarik kat ini:)

 

Alhamdulillah, majlis mereka berdua berlangsung dengan meriah. Mari kita sama-sama doakan semua kedua pasangan pengantin ini dilimpahkan rahmat dan kebahagiaan sepanjang hayat mereka berdua sampailah ke akhir hayat,amin. Mohon maaf dah lama tak update blog ini sebab kesibukan kerja. Terima kasih kepada semua yang masih singgah ke sini. Aku sangat hargainya. Insyaallah nanti aku update lagi:) Wallahua’lam.

Wassalam.

Solemnized Syu dan Ebby, Kampung Bukit Lanchong

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, syukur kerana Allah beri kita semua peluang untuk hidup pada hari ini. Salah satu sikap yang kita semua kena perbaiki pada masa ini ialah sikap suka mencari salah orang dan jadikan bahan gurauan bersama rakan-rakan. Aku merujuk kepada tranding di Twitter tentang kesilapan JAKIM dalam menterjemah bahasa english dalam laman web mereka minggu lepas.

Mudah-mudahan Allah pelihara kita semua daripada diaibkan bila kita melakukan kesilapan yang kita tidak tahu pada masa akan datang. Sentiasa beringat, apabila kita jaga aib orang lain, Allah akan jaga keaiban kita pada masa hadapan.

Kali ni aku update majlis pernikahan Syu & Ebby di Bukit Lanchong, Puchong. Imam jurunikah ada masalah kesihatan dan terpaksa buat di atas meja. Pertama kali aku sampai Kampung Bukit Lanchong ni walaupun dekat je ngan rumah aku.
 

Alhamdulillah majlis berlangsung dengan meriah. Mari kita sama-sama mendoakan kedua-dua pasangan ini semoga ikatan perkahwinan mereka diberkati dan dirahmati Allah serta berkekalan sampai ke syurga Insyallah.

Wassalam.

Wedding Amal & John, Manjalara

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, dapat update blog ni. Esok Tahun Baru Cina. Jalan raya dah mula lengang dan kosong hari ini. Duduk di negara berbilang kaum seperti Malaysia kadangkala rasa bertuah sebab kita dapat mengenal budaya dan cara hidup bangsa lain. Jiran aku di sebelah kanan dan kiri serta depan rumah berbangsa Cina. Seronok tengok mereka menghias rumah dan buat persediaan raya. Terasa bahang musim perayaan.

Beberapa tahun hidup bersama mereka sebagai jiran, kita boleh tahu jika seseorang itu merupakan jiran yang baik ataupun sebaliknya. Kemesraan mereka, kebaikan mereka dan sifat tolong menolong antara jiran walau berbilang agama dan bangsa sesuatu yang sangat menenangkan hati. Aku berdoa semoga satu hari nanti Allah bukakan pintu hati mereka kepada Islam. Sebelum tu aku kena perbaiki akhlak dan bawa imej Islam yang baik sebelum dakwah kepada mereka. Mereka insan-insan hebat dan baik. Rugi jika tidak masuk syurga Allah.

Kali ni aku update outdoor Amal & John yang diadakan di Manjalara. John dan family dating dari Sabah. First time rasanya shoot orang dari Sabah. Susah nak suruh John senyum sebenarnya,hehe.

 

Majlis berlangsung dengan lancar dan meriah. Kitorang buat outdoor kat taman berhampiran rumah Amal je. Aku doakan semoga ikatan yang terjalan antara kedua pasangan ini berkekalan bahagia sampai ke syurga,amin. Terima kasih atas layanan dan kerjasama yang baik sepanjang 2 hari shoot kat rumah Amal:) Terima kasih juga kepada sahabat aku Khairul Hafiz yang bantu aku shoot majlis ni. Jumpa lagi next entry.

Wassalam.

Atie & Nazim, Banting

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah kita masih dihidupkan sehingga berjumpa tahun 2014 ini. Dalam seminggu lepas ada 2 orang sahabat ofis telah kembali kerahmatullah. Semoga roh kedua-dua mereka diletakkan di kalangan orang beriman, diampunkan dosa dan diberikan syurga,amin. Meninggal di usia muda ketika berada di puncak kerjaya mungkin lebih memberi kesan kepada keluarga dan syarikat.

Kebelakangan ini ramai juga sahabat yang sakit kronik tanpa disangka-sangka. Sakit perut dan demam. Sekali check buah pinggang dah rosak dan terpaksa menjalani dialisis seumur hidup. Malah ada yang berlaku sebelum mencapai umur 30 tahun. Aku nasihatkan kita semua buatlah health screening untuk check kesihatan kita. Belanja RM200-300 untuk periksa tahap kesihatan jauh lebih bernilai daripada habis untuk gadget, baju, kereta dan sebagainya.

Kali ni aku nak update sesi outdoor pasangan Atie & Nazim yang diadakan di Pantai Kelanang. Dekat lebih setahun tak amik gambar di Kelanang, sekali ada tugasan wedding sebulan sampai 2 kali kat sini:) Atie solat Asar dulu sebelum keluar outdoor ni jadi beliau takde make-up sangat. Insyaallah lebih baik begitu sebab dahulukan solat.

Alhamdulillah majlis semua berjalan lancar. Aku ucapkan tahniah kepada kedua pasangan pengantin yang dirai ini. Semoga ikatan pernikahan ini berkekalan bahagia sampai ke akhir hayat,amin. Awal tahun tak jangka pula banyak tugasan ofis kena siapkan. Jadi agak sibuk dengan kerja ofis pula. Jazakallahukhair. Wallahua’lam.

Wassalam.

Solemnized Atie & Nazim, Banting

Bismillahirrahmanirrahim

Baru-baru ini aku ada melihat video Tuan Guru Nik Aziz menjadi jurunikah kepada sepasang pengantin. Isi khutbahnya sangat bagus. Tapi satu yang menarik perhatian yang aku nak kongsi ialah beliau tidak berjabat tangan dengan pengantin ketika sesi ijab dan qabul seperti kebiasaan masyarakat di Malaysia.

[FULL VIDEO TGNA bagi khutbah nikah]

Sebenarnya nak tunjukkan berjabat tangan ketika sesi ijab dan qabul itu bukanlah syarat sah nikah. Malah jika pengantin lelaki berkata “I do” seperti masyarakat baratpun ikatan suami-isteri telah terjalin mengikut syara’. Asalkan kedua-dua belah pihak faham apa yang diucapkan ia sudah memadai. Sudah tentu syarat seperti wali, mahar dan saksi itu perlu.

Malah menjawab lafaz nikah dalam satu nafas, tidak terputus dengan lafaz jurunikah, shake tangan sebelum pengantin jawab, duduk bersila dan seumpamanya ketika nikah sebenarnya bukanlah satu kewajipan dan disuruh dalam agama kita. Sudah tentu ada pendapat berbeza tentang lafaz terima nikah tetapi benda-benda itu sudah pasti bukan syarat sah nikah. Insyaallah ada masa aku ulas lagi tentang ni.

Aku update majlis pernikahan pasangan Atie & Nazim yang diadakan di Kampung Kanchong Darat, Banting. Pasangan yang sweet. Jom layan sikit suasana perjalanan majlis pernikahan mereka.
 

 

Alhamdulillah dengan sekali lafaz Atie menjadi milik Nazim sebagai suami isteri yang sah. Ikatan yang menyebabkan semua yang haram sebelum ini menjadi halal atas lafaz suci tersebut. Semoga ikatan yang terjalan ini dirahmati Allah sampailah ke syurga,amin. Insyaallah nanti aku update pula majlis persandingan mereka.

Nota kaki : Akad ketika membayar zakat juga sunat sebenarnya. Sebab tu sekarang dah boleh zakat melalui online. Ia bukan syarat sah zakat:)

Wassalam.

Wedding Atika & Khaidir, Banting

Bismillahirrahmanirrahim

Alhamdulillah, dapat juga aku update blog ni. Ketika aku menulis ni banjir di pantai timur terutamanya di Pahang dan Terengganu beransur pulih. Kasihan juga kepada keluarga yang dah merancang majlis perkahwinan ketika musim cuti sekolah ini. Mudah-mudahan Allah gantikan ujian tersebut dengan rezeki yang luas kepada mereka semua.

Kali ini aku nak update majlis perkahwinan Atika & khaidir yang diadakan di Kampung Sungai Kelambu Banting. Rasanya dah hampir 10 kali aku shoot majlis perkahwinan tentera yang lalu bawah pedang atau sword barrel sepanjang aku amik gambar wedding ni. Satu yang aku perasan ikatan persahabatan di kalangan anggota tentera berunifom ni, tak kisahlah udara, darat atau laut amat rapat sekali. Sesuatu yang jarang ada pada kebanyakkan kita.
 

 

Sesi outdoor tersebut kitorang buat kat Pantai Kelanang. Dah lama tak pergi ke sini. Pantaipun dah banyak berubah sebab hakisan air laut. Macam biasa dari dulu kalau lewat ke sini pada hujung minggu musim cuti sekolah memang ramai sangat pasangan pengantin lain buat outdoor kat sini juga. Kena bergilir-gilir:)

Alhamdulillah majlis semua berjalan lancar. Tahniah kepada kedua pasangan yang diraikan. Semoga ikatan pernikahan ini berkekalan bahagia sampai ke akhir hayat,amin. Terima kasih kepada sahabat-sahabat Atika yang sudi teman pengantin ke sesi outdoor tersebut juga. Jumpa lagi next entryWallahua’lam.

Wassalam.

Kisah kanak-kanak 11 tahun dan perempuan tua

Bismillahirrahmanirrahim

Satu masa dahulu ada seorang alim tinggal bersama anak lelakinya berusia 11 tahun. Beliau mengajar tentang agama Islam dan menulis buku untuk masyarakat di kawasan tempat tinggalnya untuk mengenal Islam dengan lebih mendalam. Satu hari beliau berjaya menyiapkan sebuah buku tentang keindahan Islam. Ketika hendak mengedarkan kepada orang kampung pada satu pagi, tiba-tiba hujan turun dengan sangat lebat.

Zafran + Nissa, Gombak

Dr Wani & Dr Fikri, Klang

Beliau menangguhkan untuk mengedarkan buku tersebut. Tetapi anak beliau berkeras mahu mengedarkannya juga. Setelah didesak akhirnya beliau mengizinkan anaknya untuk keluar mengedarkan buku dalam keadaan hujan lebat bersendirian.

Budak tersebut mengetuk satu demi satu pintu dalam hujan lebat dan memberikan buku tersebut kepada semua penduduk. Menjelang tengahari tinggal satu buku sahaja yang tinggal. Ketika duduk berehat beliau nampak sebuah rumah yang agak jauh terpencil. Lalu budak itu bertekad untuk memberikan buku terakhir kepada pemilik rumah tersebut.

Ketika sampai di hadapan rumah tersebut, budak itu membunyikan loceng sekali. Sunyi. Tiada jawapan. Budak itu kemudian membunyikan loceng berkali-kali tetapi masih tiada respon dari tuan rumah. Ketika budak itu hendak berlalu, beliau terdengar bunyi di dalam rumah tersebut. Lalu beliau bunyikan loceng lagi tanpa henti dengan harapan mereka keluar.

Tiba-tiba pintu rumah tersebut dibuka. Seorang wanita tua muncul dibalik pintu.

Apa yang kau mahu budak?

Allah menyayangi puan dan puan bertuah kerana pada hari ini saya akan beri buku ini kepada puan tentang Islam” Budak tersebut menyerahkan buku terakhir kepada perempuan tersebut dengan senyuman.

Diringkaskan lagi cerita, beberapa hari selepas kejadian tersebut ketika bapa budak itu menyampaikan ceramah agama di tempat awam, seorang perempuan tua bangun ketika sesi soal jawab berkata :

Aku merupakan perempuan tua yang duduk dihujung kampung sana. Aku baru sahaja memeluk agama Islam beberapa hari lepas. Suamiku telah mati minggu lepas dan aku tiada sesiapa lagi di dunia ini. Aku rasa hidupku tidak bermakna sebab tiada orang peduli tentang aku. Beberapa hari lepas, aku telah bertekad untuk membunuh diri dengan menggantung diri kerana kecewa dengan hidup ini.

Aku percaya hujan di pagi itu mungkin menghalang orang lain mendengar aku membunuh diri. Ketika tali berada di leher aku, tiba-tiba ada loceng pintu di rumahku. Sepanjang aku menginap di sini tidak pernah ada orang yang datang atau melawat ke rumah aku. Aku berhenti untuk menunggu orang tersebut berlalu.

Tetapi orang tersebut sangat tekad dan membunyikan loceng tidak berhenti-henti. Lalu aku melonggarkan tali gantung dan mahu melihat siapa yang datang. Aku lihat seorang budak kecil datang pada hari hujan lebat sambil berkata “Allah menyayangi aku..”. Aku mengambil buku tersebut dan membacanya.

Tiada siapa pernah bagitau tentang ajaran Islam kepadaku tetapi pada petang hari tersebut aku telah bersyahadah dan memeluk Islam. Terima kasih kepada budak tersebut.

Ketika bapa tersebut mendengar cerita perempuan tua tersebut, beliau terus turun daripada mimbar dan terus memeluk anaknya yang berada di saf hadapan sambil menangis. Kalaulah anaknya itu tidak berkeras mahu mengedarkan buku ketika hujan lebat pada hari itu, nescaya wanita tua tersebut tidak akan tahu tentang agama Islam. Pasti perempuan tua itu telah mati.

Kesimpulannya, kadangkala kita tidak tahu mana antara amalan kita yang diterima Allah dan memberi kesan kepada insan lain. Walaupun nampak kecil kadangkala ia memberi impak yang besar dari sudut pahala sebab kita lakukan dengan ikhlas. Berbanding amalan yang kita rasa besar dan hebat pada pandangan ramai orang tetapi ada sifat megah, sombong dan riak ketika melaksanakannya. Mungkin tiada nilai di sisi Allah Wallahua’lam.

Wassalam.