Sopek

Bismillahirrahmanirrahim


Dulu. Masa aku kecil, kampung aku baru je dibuka. Pokok kelapa sawit yang abah tanam pun masih muda. Peneroka yang sama-sama tebang hutan baru je berumahtangga. Jiran terdekat sayup-sayup je kelihatan. Jalan depan rumah aku masa tu hanya boleh lalu motorsikal dan basikal je. Jangankan jalan tar, tanah merah pun tak pernah jumpa.

Seberang jalan besar depan rumah aku hutan belantara. Tak sampai 500 meter. Tiap-tiap malam dengar macam-macam binatang berbunyi sebelum tido. Paling meriah bunyi monyet. Selalu kalau abah tak pergi kebun kelapa sawit, abah selalu ajak aku masuk hutan. Kadang-kadang tembak rusa dan cari ayam hutan. Kadang-kadang cari madu lebah. Kalau cari madu lebah aku jadi tukang pegang baldi. Bila abah dah asapkan sarang lebah sampai lebah tu pening, abah panjat pokok. Pastu potong sarang tu campak kat aku kat bawah.

ezan2

Teaser wedding di sawah padi.



Mesti ramai tak pernah makan daging ayam hutan kena tembak. Dulu abah ada senapang patah. Senapang patah ni peluru dia berterabur. Jadi selepas sembelih ayam dan dimasak kadangkala kat daging ayam tu ada lubang2 dan bintik2 hitam. Kadangkala memang tergigit serpihan puluru tu. Rasa belerang. Hebat tak? Dari kecik aku makan ayam kampung atau ayam hutan. Teringat kali pertama makan ayam ternak masa sekolah rendah. Aku tanya mak, kenapa daging ayam tu lembut sangat. Aku tak suka. Sebab daging ayam hutan dan ayam kampung biasanya memang liat.

Projek KLIA yang bermula awal tahun 90an benar-benar mengubah cara hidup orang kampung aku. Dalam masa singkat semuanya dah maju. Lebih 20 orang kampung aku jadi jutawan segera sebab tanah mereka dilanggar projek-projek besar. Rezeki. Banyak kawan aku terpaksa berpindah sebab tapak KLIA tu adalah kawasan petempatan mereka. Sapa pernah tahu dulu nama kawasan KLIA tu adalah ‘Sopek’. Nama tempat tu dah hilang dalam peta dengan adanya KLIA.

Kadangkala bila lalu kawasan luar bandar yang tenang, aku selalu teringat kenangan aku membesar. Aku rindu nak perah madu sendiri dengan tangan melekit. Aku rindu main ngan kura-kura liar yang selalu ada di kawasan rumah. Aku rindu mandi kat telaga depan rumah. Aku rindu bawak balik ayam hutan yang ada serpihan peluru dalam dagingnya. Tapi aku tahu semua tu takkan berulang lagi. Negara kita dah maju dan lebih baik dari semua segi. Semoga dalam kemajuan tu kita masih tidak lupakan asal usul kita. Wallahua’lam.




Nota kaki : Selawat dan salam ke atas junjungan besar Muhammad S.A.W. Banyakkan selawat hari ni.


Wassalam.


Mohd Faisal bin Hj Mohd Rahim aka Acaii
Photographer
Email : faisalhjrahim@yahoo.co.uk
Blog : http://www..faisalrahim.com/blog
Facebook : http://www.facebook.com/acaiijawephotography